Tuesday, 16 October 2012

Sejuta ikrar tanda sokongan

PELBAGAI program dijalankan bagi meningkatkan kesedaran wanita terhadap kepentingan melakukan pengesanan awal kanser sekiranya terdapat sebarang keganjilan pada kawasan payudara.
Jenama produk melembutkan fabrik terkenal, Softlan juga tidak terkecuali memainkan peranan dalam memupuk kesedaran ramai mengenai perkara ini menerusi penganjuran kempen amal kanser payudara Softlan sempena Bulan Kesedaran Kanser Payudara Sedunia.
Bertemakan ‘A Touch of love. A Touch of Life’, kempen amal ini bertujuan mengumpulkan sejuta ikrar serta sumbangan RM100,000 sebagai tanda sokongan kepada promosi kesedaran terhadap kepentingan pemeriksaan awal kanser payudara.
Setiap sumbangan terkumpul akan disalurkan kepada beberapa badan bukan kerajaan (NGO) yang berjuang untuk penghidap penyakit berkenaan antaranya Majlis Kanser Kebangsaan (Makna), Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) dan Persatuan Kebajikan Kanser Payudara (BCWA) bagi menyokong inisiatif menggalakkan pemeriksaan awal mengesan penyakit berkenaan.

Menurut Pengarah Urusan Colgate-Palmolive Sdn Bhd, John Hazlin Softlan, ia memberi peluang kepada masyarakat menunjukkan rasa kasih dan juga sokongan kepada wanita berharga dalam hidup sama ada ibu, isteri, anak, kakak, adik ataupun rakan yang berhadapan dengan kanser.

Dalam menyebarkan mesej kebaikan kempen amal ini, Softlan juga melancarkan video kempen bagi berkongsi pengalaman dan inspirasi wanita yang berjaya ‘melawan’ kanser payudara dihidapi.
“Setiap cerita dikongsi wanita tabah ini adalah pengakuan ikhlas mengenai kepercayaan, harapan dan juga keberanian mereka yang pastinya mampu mengubah bentuk kehidupan wanita lain yang mengalami pengalaman sama.
“Ikrar yang ditunjukkan adalah simbol harapan dan janji individu yang melakukannya dengan memberikan sokongan dan kekuatan kepada mereka berhadapan dengan kanser agar bangkit dan tabah menghadapi kehidupan mendatang,” katanya.
Hadir sama dalam pelancaran kempen ialah Pengarah Pemasaran Colgate-Palmolive Marketing Sdn Bhd; Chris Pikounis, Presiden dan Pengarah Perubatan Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia (NCSM), Dr Saunthari Somasundram; Presiden Pertubuhan Kebajikan Kanser Payudara Malaysia (BCWA), Ranjit Kaur dan juga Pengurus Unit Antarabangsa Majlis Kanser Nasional (MAKNA), Matheus Trevizoli.
Untuk membantu menggalakkan pengumpulan ikrar, Softlan me–ngetengahkan lima langkah mudah yang boleh dilakukan orang ramai bagi menunjukkan tanda sokongan terhadap kempen amal ini.
Antaranya ialah dengan membuat pembelian pek amal Softlan yang memiliki tanda istimewa, mengunjungi program jelajah yang dianjurkan Softlan dan menandatangani ikrar, memuat naik gambar ketika membuat ikrar ke laman disediakan dan juga berkongsi mesej kempen terbabit pada laman facebook sendiri.
Selain itu, buat kali pertama sepanjang empat kali penganjuran kempen amal sebegini, Softlan memperkenalkan laman www.facebook.com/SoftlanBCC sebagai cara mudah untuk orang ramai termasuk generasi muda menandakan ikrar mereka terhadap kempen amal ini.
Laman terbabit menyediakan pelbagai maklumat berkaitan kesihatan payudara bertujuan mendidik gadis remaja dan wanita kepentingan pengesanan awal melalui pemeriksaan sendiri payudara.
Sepanjang Oktober ini, Softlan bersama rakan amalnya akan mengadakan program jelajah ke tujuh pasar raya utama dan wanita dijemput hadir bagi mendapatkan pemeriksaan percuma dan mendapatkan maklumat mengenai pemeriksaan payudara sendiri daripada doktor serta jururawat terlatih yang mengikuti program berkenaan.
Antaranya di Carrefour Wangsa Maju, Mid Valley dan Pulau Pinang (5 hingga 7 Oktober lalu), di 1 Utama pada 17 hingga 21 Oktober dan di AEON Bukit Tinggi, AU2, Setiawangsa dan Tebrau City pada 19 hingga 21 Oktober ini.


View the original article here

No comments:

Post a Comment